Sunday, October 4, 2009

Cara Menulis Sorotan Literatur


Contoh berikut di ambil daripada http://pkukmweb.ukm.my/~jurfpend/journal/vol%2031%202006/JPendidikan31%5Bisukhas%5D/Jpend31%5B09%5D.pdf Perenggan terakhir menunjukkan kesimpulan.

SOROTAN LITERATUR

Kajian yang dijalankan oleh Abdul Razak dan Rashidi (1997) adalah untuk menentukan hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian Sains dan Matematik sekolah menengah rendah. Dalam kajian berkenaan, tiga gaya pembelajaran telah dikemukakan iaitu gaya motivasi, gaya mendalam dan gaya permukaan dari Inventori Gaya Pembelajaran Selmes (1987). Sampel kajian terdiri daripada 539 orang pelajar Tingkatan 4 di 20 buah sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara ketiga-tiga gaya pembelajaran. Gaya motivasi mendalam mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian Sains dan Matematik, sementara gaya permukaan mempunyai hubungan yang negatif. Ini bermakna gaya motivasi dan gaya mendalam dapat meningkatkan pencapaian akademik.

Asiah (1999) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti tahap pencapaian akademik dan gaya pembelajaran di kalangan pelajar Tingkatan 4, Sekolah Menengah Teknik Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Instrumen yang digunakan ialah Learning Style Inventory Dunn, Dunn and Price (1985). Sampel kajian seramai 97 orang pelajar Tingkatan 4 dari aliran teknik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tiada korelasi antara pencapaian akademik dengan gaya pembelajaran pelajar.


Kajian Tumerah (1996) menggunakan Grasha-Reichman Learning Style Inventory menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan etnik. Etnik Melayu menunjukkan kecenderungan memilih gaya pembelajaran yang melibatkan aktiviti kumpulan. Sementara, etnik Cina menunjukkan kecenderungan yang tidak dominan dalam semua gaya pembelajaraan. Sampel kajian terdiri daripada 171 orang pelajar Semester 5 kursus Diploma Perguruan Malaysia di sebuah maktab perguruan di Sarawak.

Misnan (1999) dalam kajiannya untuk melihat hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian dalam mata pelajaran bahasa Arab telah menggunakan Inventori Pembelajaran di Sekolah (Selmes 1987). Misnan telah mengubah suai inventori tersebut kepada empat gaya pembelajaran. Keempat empat gaya pembelajaran itu ialah gaya hafalan, gaya perbincangan, gaya latihan dan gaya motivasi. Sampel kajian terdiri daripada 200 pelajar Tingkatan 4 di enam buah sekolah di negeri Perak. Dapatan kajian mendapati gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar cemerlang adalah gaya motivasi dan gaya hafalan. Sementara, pelajar lemah mengamalkan gaya motivasi dan perbincangan semasa mempelajari Bahasa Arab.

Dapatan kajian oleh Norihan (2001) mendapati tidak wujud perbezaan gaya pembelajaran antara pelajar pandai, sederhana dan lemah dalam matematik. Dapatan ini memberi implikasi bahawa kesan positif gaya pembelajaran adalah sama ke atas semua pelajar, walaupun mereka mempunyai keupayaan yang berbeza. Selain dalam negara, kajian gaya pembelajaran juga banyak dilakukan di luar negara. Misalnya, Geiser-William (1999) telah membuat kajian terhadap pelajarpelajar pinggir bandar gred 18 matematik. Beliau mendapati pelajar yang mengamalkan learning- style- responsive dalam strategi pembelajaran Matematik telah menunjukkan kesignifikan yang tinggi dalam pencapaian dan sikap mereka berbanding dengan pelajar yang menggunakan gaya tradisional.

Kajian Mcgowan (1998) terhadap 68 orang pelajar Afrika Amerika dari Fakulti Teknologi Perindustrian di Universiti Mississippi menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik. Dapatan yang sama juga diperoleh oleh Cavanagh dan Stephen (1995) dalam kajiannya ke atas 192 pelajar jururawat menggunakan Inventori Gaya Pembelajaran Kolb. Beliau mendapati bahawa tiada hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian.

Kajian yang dijalankan oleh Sadler-Smith (1996) menunjukkan terdapat perbezaan dalam gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan. Kajian ini bertujuan untuk melihat kesan jantina, umur dan program belajar dalam pendekatan pembelajaran. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah Revised Approaches to Studying Inventory (RASI). Hasil kajian ini mendapati pelajar lelaki mengamalkan gaya mendalam berbanding pelajar perempuan yang lebih suka kepada gaya pembelajaran permukaan.

Kajian tentang gaya pembelajaran dengan jantina juga telah dijalankan oleh Watson (1997) terhadap 147 orang pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina. Pelajar lelaki dan perempuan sama-sama cenderung kepada gaya pembelajaran konkrit dan juga kombinasi gaya pembelajaran konkrit dan abstrak.

Kajian oleh Engelbrecht dan Natzel (1997) menunjukkan terdapat perbezaan gaya kognitif antara pelajar kulit hitam Afrika-Amerika dan Afrika Selatan. Instrumen yang digunakan ialah Children’s Embedded Figures Test (GEFT) untuk menentukan gaya kognitif bagi 100 orang pelajar kulit hitam Afrika-Amerika dan 100 orang pelajar kulit hitam Afrika Selatan Gred 4 dan 5. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar kulit hitam Afrika-Amerika lebih suka menggunakan gaya field independent manakala pelajar Afrika Selatan pula lebih suka kepada gaya field dependent.

Hubungan Antara Motivasi, Gaya Pembelajaran Dengan Pencapaian Richardson dan Fergus (1993) telah menjalankan kajian di dua buah sekolah menengah di Monstserrat, Caribbean untuk mengenal pasti gaya pembelajaran bagi dua kumpulan yang berbeza kebolehan, iaitu A dan B. Sampel kajian terdiri daripada 114 orang pelajar Gred 9 yang berumur 14 tahun. Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik Inventory of Processes yang merangkumi empat skala gaya pembelajaran, iaitu proses mendalam, proses menghuraikan, mempertahankan fakta dan belajar secara tersusun. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar dari kumpulan A yang berkebolehan tinggi memperolehi skor yang tinggi dalam proses belajar secara mendalam, belajar secara tersusun dan mempertahankan fakta berbanding dengan pelajar kumpulan B yang kurang berkebolehan.

Secara keseluruhan, kajian lepas melaporkan bahawa tidak ada perbezaan gaya pembelajaran mengikut etnik dan jantina. Pada masa yang sama, hubungan positif antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik juga tidak konsisten. Walau bagaimanapun, kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara gaya pembelajaran dengan motivasi, yakni gaya pembelajaran mendalam mempunyai kaitan dengan motivasi dalaman.

8 comments:

Adlina Husaini said...

thank you for the notes, helping me in doing my report ^-^

Anonymous said...

Im so blessed to found this article. Now I finally got th idea in writing my asgmnt :)

Anonymous said...

Im so blessed to found this article. Now I finally got th idea in writing my asgmnt :)

Anonymous said...

terima kasih ya :)

Anonymous said...

Anda memang sangat sangat membantu! THX!!!

Anonymous said...

Bahan yg sngt brmanfaat utk menulis sorotan kajian...terima kasih.

Anonymous said...

Thank you for your help. I found this article to be very useful :)

Mek Sue said...

Saya masih kurang faham