Sunday, September 20, 2009

Etika Kewartawanan

ETIKA KEWARTAWANAN

Oleh Chamil Wariya

Dari buku Penulisan Berkesan – Media Cetak, Elektronik dan Web, terbitan Malaysian Press Institute (MPI), 2008.

Kod Etika Kewartawanan

Menjadi wartawan tidak seperti menjadi peguam, doktor perubatan, doktor pergigian, arkitek, akauntan yang memerlukan kelayakan profesional yang khusus. Wartawan juga tidak ditadbirkan oleh satu akta profesyen yang mewajibkan ia berdaftar dengan mana-mana badan profesional. Siapa juga boleh menjadi wartawan asalkan dia memiliki kemahiran menulis yang baik dan penguasaan bahasa yang hebat. Suatu waktu dulu pada zaman awalnya, kewartawan khususnya kewartawanan Melayu adalah bidang yang diceburi oleh lulusan sekolah menengah. Tetapi tertubuh pusat-pusat pengajian media di universiti-universiti tempatan, hari ini hampir seratus peratus yang diterima bekerja dengan organisasi media adalah lulusan universiti. Mereka tidak semestinya dalam bidang kewartawanan, media atau komunikasi.

Mereka yang mendalami bidang-bidang bukan kewartawanan juga boleh dterima sebagai pengamal media dan ada berjaya dalam bidang yang diceburi sehingga menjadi pengarang atau ketua pengarang. Kerana ketiadaan kelayakan profesional yang khusus itu, ada antara mereka yang memasuki bidang itu dengan pengetahuan yang dangkal bagaimana mereka harus menjalankan etika profesyen yang dimasukinya. Mereka tidak arif tentang nilai-nilai asas kewartawanan yang patut dianuti untuk menjadi petugas media yang berkesan. Mereka banyak belajar daripada pengalaman tentang apa yang boleh dilaporkan apa yang tidak; apa yang menyalahi undang-undang, apa yang tidak.

Selain daripada undang-undang yang wajib dipatuhi, kalau tidak pengamal media akan menghadapi padahnya, wartawan juga dipandu oleh etika kewartawanan dalam menjalankan kerja hariannya. Secara umum sebarang etika kewartawanan akan berpegang kepada empat nilai asas – kebebasan, kebenaran, kesaksamaan dan kehormatan. Wartawan diajar untuk menggunakan kebebasan yang diberi untuk melaporkan yang benar, bukan yang bohong. Kebenaran itu pula hendaklah dilaporkan dengan jujur, bukan dengan agenda-agenda tertentu. Laporan yang benar itu pula hendaklah saksama dan adil berdasarkan sumber-sumber yang perlu dilindungi.

Etika kewartawanan Malaysia sebenarnya sudah ada. Terdapat dua versi – satu yang dikeluarkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dan satu lagi oleh Organization for Newspapers Editors atau ONE dan Malaysian Press Institute (MPI). Kedua-dua pertubuhan ONE dan MPI sewaktu melancarkan etikanya pada 1989 diterajui oleh kelompok yang sama iaitu para editor akhbar. Menyedari bahawa etika kewartawanan NUJM adalah untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada wartawan bukan eksekutif organisasi media, maka ONE dan MPI berasa perlu untuk merangka etikanya sendiri yang boleh diguna pakai oleh jabatan pengarang setiap organisasi media. Memandangkan penggubal etika ONE dan MPI itu terdiri daripada para peneraju editorial media arus perdana maka diandaikan bahawa jabatan pengarang di bawah kepimpinannya menerima pakai kod etika tersebut.

Tetapi kedua-dua kod etika NUJM dan ONE-MPI itu sebenarnya tidak mengikat wartawan sebagai suatu dokumen undang-undang yang mesti dipatuhi sepenuhnya. Sebaliknya pemakaian kod etika itu adalah secara sukarela. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan tatasusila itu ada waktunya hanya sekadar menjadi perhiasan. Kalau ada pihak yang bertanya apakah negara ini mempunyai etika kewartawanan, maka kita dengan bangganya akan berkata: ada. Tetapi apabila diminta untuk menghuraikan satu persatu apa yang terkandung di dalam kedua-dua kod itu, kebanyakan wartawan sebenarnya tidak tahu atau tidak sedar bahawa dunia kewartawanan negara mempunyai kod etikanya sendiri. Malah seorang wartawan yang sudah 20 tahun berkhidmat dengan organisasi media arus perdana sehingga beliau mengundurkan diri, tidak pernah tahu bahawa kewartawanan Malaysia mempunyai kod etika. Pengarang yang sama mendapati bahawa organisasi medianya tidak pernah menurunkan apa yang terkandung dalam etika itu kepada para wartawan yang baru bekerja.

Kod etika kewartawanan NUJM

Sebenarnya Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga bertindak sebagai Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia diperkenalkan lebih awal berbanding kod etika ONE-MPI. Kod yang diketengahkan oleh NUJM mempunyai lapan perkara, meliputi:

  1. Menghormati kebenaran serta hak publik untuk mengetahui kebenaran merupakan tugas semua wartawan.

  2. Di dalam melaksanakan tanggungjawab ini wartawan akan mempertahankan kedua-dua prinsip ini – kebebasan memungut dan menerbitkan berita dengan jujur serta hak untuk mengeluarkan ulasan dan kritikan secara adil.

  3. Wartawan akan hanya melaporkan fakta-fakta yang diketahui asal usulnya. Wartawan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat atau memalsukan sebarang dokumen.

  4. Wartawan akan menggunakan kaedah yang adil untuk memperolehi berita, gambar dan dokumen.

  5. Sebarang maklumat yang diterbitkan jika didapati tidak tepat, maka wartawan harus berusaha untuk memperbetulkannya.

  6. Wartawan akan menghormati rahsia profesional berhubung dengan sumber maklumat.

  7. Wartawan akan menganggap perbuatan-perbuatan ini sebagai kesalahan paling besar: plagiat, mengumpat, fitnah lisan (slander), fitnah bertulis (libel) dan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Penerimaan sogokan dalam apa bentuk sekalipun sebagai saguhati untuk penerbitan atau menyembunyikan maklumat.

  8. Wartawan mengiktiraf hak rakan-rakan sekerjanya berhubung dengan soal-soal profesional bidang itu; wartawan akan menolak sebarang bentuk campur tangan daripada kerajaan atau pihak-pihak lain.

Kod Etika Kewartawanan Malaysia ONE-MPI juga mengemukakan lapan prinsip sama seperti NUJM. Bezanya cuma kod etika ONE-MPI mempunyai mukadimah tiga perenggan yang mengikrarkan dokongan terhadap Rukun Negara, kestabilan dan keselamatan nasional serta cita-cita negara. Secara keseluruhannya, Tatasusila Kewartawanan Malaysia ONE-MPI itu berbunyi seperti berikut:

Kod etika kewartawanan ONE-MPI

Bahawasanya wartawan akan mendokong prinsip-prinsip Rukunegara (sekarang dieja Rukun Negara) dan cita-cita nasional yang terkandung di dalamnya; menyedari peranannya untuk memberi sumbangan kepada proses membina negara; menyedari kewajipannya untuk memberi sepenuh sumbangan pada memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.

Menyedari bahaya komunisme; perkauman dan ketaksuban agama kepada kestabilan dan keselamatan negara; menyedari pentingnya masyarakat liberal, toleran, demokratik dan peranan tradisi kewartawanan bebas dan bertanggungjawab yang berkhidmat untuk rakyat, dengan melaporkan fakta-fakta yang benar tanpa rasa takut atau berat sebelah; menyedari bahawa kewartawanan yang amanah adalah suatu aset kepada negara.

Menyedari pentingnya menegakkan nilai pekerti masyarakat yang baik dan asli; menyedari bahawa tiada sebarang sekatan boleh diadakan bagi penyertaan seseorang ke dalam profesion wartawan; menyedari kewajipan kaum wartawan untuk memberi sumbangan kepada penggubalan sesuatu dasar negara.

Maka dengan ini berpandu kepada Tatasusila Kewartawanan Malaysia yang berikut:

  1. Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar.

  2. Dalam melaksanakan tugas ini wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.

  3. Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapat berita, gambar/filem dan dokumen.

  4. Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat hendaklah dibetulkan.

  5. Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita.

  6. Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

  7. Wartawan hendaklah menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.

  8. Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

Sebagai prinsip yang sepatutnya memandu dunia kewartawanan Malaysia, baik kod etika NUJM mahupun ONE-MPI, mengandungi empat nilai asas yang mahu dipertahankan oleh para wartawan di mana juga iaitu kebebasan, kebenaran, kesaksamaan dan kehormatan (sumber dan audien). Kebebasan penting untuk memastikan bahawa wartawan yang menyediakan maklumat tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keboleh percayaan maklumat itu. Kesaksamaan pula dituntut sewaktu proses pengumpulan, pertimbangan dan pelaporan maklumat itu.

Kebenaran akan membolehkan fakta di tempat dalam konteks dan perspektifnya yang betul. Dengan itu fakta dapat diasingkan daripada dongengan, rekaan dan pembohongan. Ini kerana wartawan berada pada satu kedudukan yang berpengaruh dan pengaruh itu boleh digunakan dengan tujuan baik atau buruk. Mereka mungkin terdorong untuk menyalahgunakan kedudukannya. Atau dijadikan kuda tunggangan oleh kelompok politik tertentu. Supaya tidak terlanjur, maka pegangan terhadap kebenaran adalah amat penting. Pada waktu yang sama wartawan juga patut menghormati audien dan orang-orang yang diberi liputan dengan penuh kesopanan, berusaha untuk tidak melakukan sebarang kesan yang boleh menjejaskan individu dan masyarakat jika boleh atau jika tidak boleh meminimunkan penjejasan itu.

Sumber

No comments: